Tuesday, April 1, 2008

Apa yang jadi ni

Kali ini penulis mahu mengajak semua pembaca berfikir sejenak tentang apa yang telah terjadi selepas pilihanraya ini. Jika dilihat dengan pandangan mata kasar tiada pengajaran atau iktibar yang dapat diambil oleh semua pemimpin. Perebutan kuasa sesama sendiri untuk memegang tampuk pemerintahan mendahului kepentingan rakyat.

Kita patut melihat apa yang berlaku di Terengganu tempoh hari kerana hendakkan kuasa pertubuhan yang melaungkan ketuanan melayu menderhaka kepada Sultannya. Mereka yang mengugut Sultan akhirnya terpaksa akur untuk menjilat ludah mereka sendiri. Apakah kesimpulannya ? Penulis telah bertanya akan kesimpulan tersebut daripada rakyat negara ini, dan jawapan mereka kepada penulis tentang perkara tersebut :

Bertindak mengikut hawa nafsu tanpa memikirkan apa kesudahan dan kesannya kepada rakyat. Mereka bertindak diatas kepentingan diri bukan kepentingan rakyat, ini menunjukkan bahawa mereka akan berbuat apa saja untuk kepentingan mereka tanpa mempedulikan perasaan dan hati rakyat.

Di Perak dan Selangor pula ketua-ketua kampung mahu melepaskan jawatan mereka, mengapa perkara ini boleh berlaku sedangkan ketua kampung adalah dilantik oleh kerajaan untuk membantu rakyat? Ini menunjukkan bahawa mereka selama ini telah mengamalkan satu sistem yang mungkin telah menaikan kemarahan penduduk yang bernaung dibawah pimpinan mereka atau ada sesuatu disebaliknya.

Penulis juga telah bertemu dengan beberapa orang ketua kampung yang terlibat termasuk penduduk setempat untuk mendapat maklum balas tentang perkara tersebut. Dan jawapannya lebih kurang begini, ada diantara mereka yang disenangi penduduk dimana ketua kampung ini telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin tetapi disebabkan kepentingan kumpulan tertentu maka mereka turut dilibatkan.

Tetapi mereka ini didalam kelompok minoriti, majoritinya tidak disenangi masyarakat setempat kerana mengamal sistem kroni, pilih kasih, boikot, memecah belahkan penduduk, tidak mendengar rintihan penduduk, penyampaian matlumat tidak telus (putar belit) dan banyak lagi yang penulis tidak tulis disini.

Penulis telah berjumpa dengan pemimpin tertinggi disalah sebuah negeri yang disebut untuk mendapatkan maklum balas. Beliau berkata khidmat ketua kampung ini masih mahu diteruskan hingga penghujung tahun ini kerana menghormati pelantikan, kemudian perlantikan ketua baru akan dibuat secara undi(pilihanraya kampung).

Tetapi apabila mereka semua mahu meletak jawatan maka khidmat mereka cuma akan ditamatkan hingga 30hb april. Persoalannya, disaat ini ada dikalangan ketua kampung tidak mahu menjalankan tanggungjawab mereka atas alasan yang tidak masuk akal iaitu elaun mereka dibayar oleh kerajaan pusat.

Perkara ini telah menyusahkan penduduk dikawasan jagaan mereka, dimana mereka hendak mendapatkan tandatangan untuk persekolahan anak-anak atau sebagainya. Sedarkah ketua kampung ini bahawa gaji atau elaun mereka itu termasuk pemerintah tertinggi negara siapakah yang membayar ? Bukankah penduduk setempat yang membayar iaitu melalui cukai yang telah ditetapkan.

Hasil cukai ini kemana jika tidak kepada kerajaan pusat. Ini menunjukkan mereka tidak layak untuk menjadi ketua kampung atau pertubuhan atau apa saja kerana mereka lebih mementingkan diri sendiri dan bertindak mengikut nafsu bukannya akal. Penulis telah dipinta oleh penduduk atau rakyat agar pesanan mereka ini dicatatkan untuk peringatan pemimpin akan datang "berkhidmat untuk rakyat".

Kesimpulan perkara diatas, tidakkah manusia itu berfikir mengunakan akal sedangkan akal itu membezakan manusia dengan haiwan. Kepada mereka yang terbabit, bukan niat penulis untuk mempertikaikan atau mempersoalkan sesuatu perkara itu tetapi untuk menyedarkan agar kita kembali kelandasan sebenar.

Lupakah apa yang telah mereka perjuangkan selama ini, apa yang mereka telah perkatakan selama ini dan apa yang telah mereka pertikaikan selama ini? Mereka telah melakukan perkara yang mereka katakan kepada lawan mereka, tidakkah ini menjilat ludah sendiri. Insaflah kita semua dan mari kita menilai diri sendiri.

Kita patut memperbetulkan kesilapan dan kesalahan kita dimasa lalu, hentikan perebutan kuasa sebaliknya berbuat baik dan saling bantu-membantu antara satu sama lain semoga kita menjadi satu tamadun yang agung dimasa akan datang.

Apa yang kita lakukan ini adalah untuk generasi kita akan datang, kita menunjukkan jalan dan mereka akan terus merintis sehingga berjaya. Terpulanglah kepada pembaca untuk menilai, mahu terus hidup begini atau membina hidup baru yang lebih harmoni berlandaskan suruhan agama,
"ALLAH s.w.t tidak akan merubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu merubahnya sendiri"

ALLAH sentiasa memerhatikan tindakan kita dan sedarlah wahai sekalian manusia bahawasanya kita akan dihitung dimahkamah ALLAH s.w.t kelak dengan seadil-adilnya. Dimasa itu tiada siapa pun dapat membantu kita. Kita akan menanggung segala perbuatan kita semasa hidup dimuka bumi ini.

( Sistem kufur telah mencapai matlamatnya )

Penulis ingin memohon maaf kiranya penulisan penulis ini terdapat banyak kesalahan ayat atau perkataan.

0 comments:

Komen semasa