Thursday, April 17, 2008

MEMANG BENAR PETIKAN INI

SELEPAS lima minggu Pilihan Raya Umum Ke-12 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan lima negeri dikuasai pembangkang, pemimpin BN terutama dari Umno masih lagi saling menuding jari. Dengan mandat yang diberi untuk kembali berkhidmat kepada rakyat � walaupun kurang lapan kerusi daripada majoriti dihajati � BN seharusnya sudah mengorak langkah untuk memenuhi segala janji pilihan raya dengan matlamat menarik semula sokongan mereka lima tahun lagi.

Malangnya, apa yang berlaku sejak 8 Mac lalu ialah pemimpin BN, khususnya di kalangan Umno, bercakaran sesama sendiri. Saban hari kedengaran tuduh menuduh di kalangan pemimpin Umno dan masing-masing cuba menyalahkan orang lain sebagai punca kemerosotan teruk BN pada pilihan raya umum lalu.

Ada yang mahu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi seorang saja bertanggungjawab atas kekalahan itu sedangkan mereka terlepas daripada tanggungjawab itu. Mereka seolah-olah cuba menafikan hakikat bahawa kebencian sebahagian pengundi kepada BN dan Umno yang berputik sejak sekian lama, disuburkan oleh tindak-tanduk mereka sendiri sehingga menghasilkan buah busuk pada pilihan raya umum lalu.

Sebab-musababnya, seperti diketahui ramai, adalah pelbagai. Antaranya, tindakan menghunus keris oleh Ketua Pergerakan Pemuda Umno mengguris hati masyarakat bukan Melayu sehingga pengundi Cina tidak mengundi BN. Masyarakat India, khususnya di Selangor, marah kepada kerajaan berikutan tindakan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, meroboh kuil di penempatan Rimba Jaya sebelum pilihan raya umum lalu.

Tindakan Dr Khir menghadiahkan penyapu kepada kakitangan awam, yang turut dijadikan isu dalam pilihan raya baru-baru ini, menyebabkan ramai kakitangan awam dan pengundi Melayu mengundi pembangkang sehingga negeri itu kini bertukar kerajaan. Sabotaj di kalangan pemimpin Umno sendiri turut mengubah keputusan pilihan raya umum lalu.

Berapa ramai ketua bahagian dan bekas wakil rakyat yang tidak terpilih semula sebagai calon, dilaporkan berkempen untuk mengalahkan calon parti sendiri. Malah ada ketua bahagian yang tidak mengagihkan peruntukan kempen pilihan raya kepada jentera parti kerana mahu menyimpannya untuk kempen pemilihan Umno, menyebabkan penyokong akar umbi marah sehingga berlaku sabotaj.

Memang Abdullah sebagai ketua, harus bertanggungjawab atas kemerosotan BN. Bagaimanapun, adalah tidak adil untuk menyalahkan beliau semata-mata. Perdana Menteri memang mempunyai kelemahan dan kita juga akui beberapa janji BN pada pilihan raya umum 2004, tidak beliau penuhi. Sehingga kini pun, beliau tidak pernah menafikan bertanggungjawab.

Lebih daripada itu, hampir selang sehari beliau terpaksa menidakkan khabar angin meletak jawatan sambil berikrar untuk melakukan perubahan sehingga tiba waktunya untuk berundur menerusi proses peralihan kuasa yang tersusun dan terancang. Tetapi apakah barisan kepemimpinan Umno seluruhnya harus bebas daripada turut sama dipertanggungjawabkan?

Bukankah mereka juga sebelumnya tidak melakukan apa-apa terhadap keterlanjuran beberapa pemimpin dalam Majlis Tertinggi Umno? Jawapannya ialah mereka bersama-sama bertanggungjawab tetapi memilih untuk Abdullah seorang dipersalahkan.

Apapun rentetannya nanti, pengunduran Abdullah tidak mungkin dapat menyelesaikan semua masalah. Segala-galanya tidak akan menjadi serba harum dengan hanya seorang dijadikan korban. Sama ada disukai atau tidak, ahli Umno di segenap peringkat harus sama-sama memikul tanggung jawab di atas apa saja daripada kekurangan, kelemahan, keangkuhan mahupun keterlanjuran yang membuat pengundi menolak mereka.

Rakyat sebenarnya mengharapkan perubahan dan tindakan, bukannya keasyikan Umno untuk terus berbalah sesama sendiri. Segenap usaha kini harus ditumpukan untuk menghadapi cabaran lebih besar daripada kegagalan BN meraih majoriti dua pertiga. Krisis pemakanan global dan kenaikan harga minyak memerlukan perhatian serius kerajaan kerana kesannya sudah mula dirasai rakyat.

Rakyat, selepas mereka 'mengajar' BN pada 8 Mac lalu, dengan penuh minat memerhatikan sama ada gabungan 14 parti dokongan Umno itu belajar daripada kesilapan lalu. Lantaran itu, Abdullah harus diberi sokongan untuk memperbetulkan keadaan dengan mengotakan segala janji memimpin dengan berwibawa.

PETIKAN BERITA HARIAN 16 APRIL 2008

Memang benar apa yang diperkatakan diatas, rakyat mahu menyedarkan pemimpin-pemimpin umno ini. Ramai dikalangan pemimpin-pemimpin umno ini telah lupa tujuan penubuhan umno, mereka telah mengunakan umno untuk perjuangan poket sendiri . Insaflah sebelum nasi menjadi bubur atau umno akan dikuburkan didalam muzium negara dan buku-buku sejarah.

0 comments:

Komen semasa